KOTA BHARU: Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan Hospital Tengku Anis (HTA) di Pasir Puteh dilanda banjir.
Difahamkan, selain pekarangan hospital, unit kecemasan, bahagian farmasi serta wad lain dinaiki air sejak malam tadi.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Husin, berkata air mula memasuki wad serta unit lain bermula jam 8.30 malam tadi ekoran hujan lebat berterusan.
“Susulan itu, kakitangan hospital berkenaan bertungkus lumus mengangkat peralatan elektrik seperti peti sejuk dan peti vaksin ke tempat yang lebih tinggi.
“Kita juga sedang memantau jika ada keperluan pesakit yang mungkin dipindahkan ke hospital lain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Dr Zaini berkata, sekiranya masih terdapat pesakit yang datang ke hospital berkenaan, pihaknya akan cuba mengalihkan ke hospital lain terutama Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Bagaimanapun katanya, sekiranya kes kecemasan, pihaknya akan terima.