comscore
Tumpuan :
Nasional

Hospital dimaklumkan mangsa dilanggar kereta, pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam dan luka lama – Polis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kematian seorang budak lelaki berusia lima tahun dipercayai akibat didera di sebuah rumah di Pangsapuri Mayang, Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, dekat sini, Selasa lalu, polis menahan seorang wanita dan teman lelakinya.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan wanita berusia 44 tahun dan lelaki berusia 29 tahun berkenaan ditahan selepas mereka disyaki membuat laporan palsu pada Selasa lalu, mendakwa kanak-kanak terbabit cedera akibat dilanggar kenderaan.

“Kanak-kanak itu dihantar ke Jabatan Kecemasan Hospital Serdang pada jam 12.50 tengah malam Selasa lalu selepas tidak sedarkan diri dan pihak hospital dimaklumkan kanak-kanak itu dilanggar kereta.

“Pasukan perubatan memberikan bantuan CPR, tetapi tiada respons positif sebelum mangsa disahkan meninggal dunia. Pemeriksaan lanjut pada badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam dan luka lama, disyaki akibat didera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, dalam soal siasat terhadap ibu mangsa dan teman lelaki wanita itu, lelaki berkenaan membuat laporan polis palsu mendakwa dia melanggar mangsa dengan sebuah lori.

Bagaimanapun, siasatan mendapati tiada kejadian sedemikian dan semakan terhadap lori didakwa dipandu lelaki itu sebenarnya kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Kajang.

“Hasil siasatan lanjut ke atas kedua-dua suspek, akhirnya mereka mengaku mendera mangsa sehingga menyebabkan kematian. Berikutan itu, ibu mangsa yang tidak bekerja dan teman lelakinya yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Anbalagan berkata, hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan tisu lembut yang banyak akibat kerap dipukul pada tubuh mangsa.

“Kita dapati motif kejadian berpunca tabiat yang suka mendera anak, bagaimanapun siasatan masih diteruskan. Selain itu, siasatan mendapati wanita terbabit tinggal bersama teman lelakinya itu sejak suaminya meninggal dunia pada September 2022,” katanya.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua saspek positif methamphetamine dan amphetamine dan mereka kini direman tujuh hari sehingga Isnin untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Loading...
Terkini