SHAH ALAM: Hospital Bersalin Razif (HBR) yang didakwa menahan jenazah seorang bayi selama dua minggu tampil menafikan dakwaan itu sambil menjelaskan pihaknya memberi kebenaran bayi berkenaan dikebumikan sebelum bayaran bil hospital dibuat.
Menurut satu kenyataan rasminya, pesakit (ibu kepada bayi) datang ke HBR dalam keadaan hendak bersalin dan mengakui tidak pernah menjalani pemeriksaan sepanjang kehamilannya tetapi pemeriksaan dibuat menggunakan perisian aplikasi telefon.
“Pesakit dibawa ke HBR oleh ‘suami’ (dia kemudian mendakwa dia belum berkahwin). Memandangkan pesakit hampir bersalin, HBR terpaksa menerimanya atas dasar kemanusiaan walaupun tiada tempahan atau saringan.
“Pesakit dibawa ke bilik bersalin dan bersalin serta-merta. Doktor mendapati, bayi mengalami ‘Sindrom Cyclops’ yang dilahirkan dengan sebelah mata, tiada hidung dan lubang dubur. ‘Suami’ tidak menemaninya semasa bersalin.
“Doktor juga menerangkan keadaan bayi kepada ‘suami’ dan menyuruhnya azan. Suntikan rutin diberikan kepada bayi. Bagaimanapun bayi berkenaan meninggal dunia beberapa minit kemudian,” demikian kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut kenyataan itu, pihak doktor ada menandatangani permit pengebumian dan memaklumkan kepada ‘suami’ untuk menguruskan pengebumian pada keesokan harinya, namun ‘suami’ keluar dari hospital memberitahu perlu ke tempat lain.
“Pesakit berada dalam keadaan sihat dan dibenarkan keluar pada hari berikutnya. Pada keesokan harinya, dia memaklumkan bahawa dia tidak dapat menjelaskan jumlah bil sebanyak RM2,480.
“Pihak HBR memaklumkan dia boleh menguruskan pengebumian dahulu sebelum membayar bil. Kata pesakit, ‘suami’ akan uruskan pengebumian. Jadi HBR menunggu dia untuk mengambil bayi untuk dikebumikan.
“Dalam tempoh berkenaan, HBR terus mengingatkannya untuk meneruskan pengebumian tetapi dia tetap mengatakan ‘suami’ sedang menguruskan,” katanya.
HBR juga menjelaskan, pesakit dilayan baik oleh kakitangan hospital, diberikan kaunseling dan makanan percuma.
“Sepanjang tempoh itu, ‘suami’ ada datang melawatnya selama beberapa minit sekali dalam dua hingga tiga hari. Percubaan untuk bercakap dengannya mengenai pengebumian gagal.
“Pengurusan HBR berbincang dengan pesakit untuk mendapatkan pihak polis bagi membantu menyelesaikan pengebumian tetapi dia merayu untuk tidak melibatkan polis. Pesakit hanya memberitahu bahawa semua keputusan adalah dari ‘suaminya’.
“HBR cuba mendapatkan nombor keluarga atau rakan tetapi dia enggan memberikannya. Pesakit mendakwa tinggal di bilik sewa bersama ‘suami’. Dia tidak mempunyai saudara atau kawan berdekatan,” katanya.
Pada masa sama, HBR menegaskan pihaknya terus komited terhadap ketelusan dan pematuhan dalam semua perkara.