Tumpuan :
Nasional

‘Hormati kuasa prerogatif Agong beri ampun, tunda hukum’ – Istana Negara

KUALA LUMPUR: Cadangan supaya mana-mana banduan diberi keampunan atau pengurangan hukuman hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Istana Negara melalui kenyataan memaklumkan memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Melalui kenyataan sama, Istana Negara berkata, Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut.

“Kuasa Seri Paduka baginda Yang di-Pertuan Agong ini dijalankan dengan nasihat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka.

“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

“Semua pihak diingatkan untuk menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini