KUALA LUMPUR: Noh Salleh memaklumkan anak angkatnya, Musa sudah diserahkan kepada bekas isteri, Mizz Nina, Sabtu lalu, berikutan perintah interim dikeluarkan Mahkamah Syariah.
Melalui hantaran Instagram (IG) dimuat naik kira-kira jam 11 malam tadi, Noh menjelaskan perkara itu bagi mengelak salah faham.
“Terima kasih buat mereka yang mendoakan agar masa depan Musa terjamin harmoni. Buat pengetahuan umum, temubual bersama Melodi dijalankan pada 13 Januari lalu (Sabtu) pada jam lebih kurang 2.45 petang.
“Namun, malam semalam (kelmarin), pada jam kira-kira 8.30 malam, Mizz Nina hadir di rumah saya bersama suami, anggota polis dan beberapa orang lain yang tidak dikenali untuk mengambil Musa daripada jagaan saya dengan perintah interim (perintah jagaan sementara) dari Mahkamah Syariah sebelum sesi mediasi di mahkamah,” katanya.
Noh berkata, dia menghormati perintah Mahkamah Syariah dan menyerahkan Musa dengan baik biarpun berat hati.
“Saya faham dan bagi menghormati perintah mahkamah, saya dengan terpaksa dan berat hati menyerahkan Musa dan akan meminta nasihat peguam saya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa hancurnya hati saya,” katanya.
Noh juga memaklumkan semuanya berlaku dengan baik dan berharap tiada pihak yang membuat spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan.
“Tiada sebarang insiden perebutan berlaku kerana saya masih percaya dengan jalan perdamaian dan apa yang penting adalah kesihatan mental dan fizikal Musa.
“Saya berharap kenyataan ini jelas dan tiada sebarang spekulasi daripada mana-mana pihak dan saya berterima kasih atas segala doa kalian,” katanya.
Ketika ditemuramah Melodi terbitan TV3, Noh atau nama sebenar, Mohammad Noh Salleh, 39, menegaskan tiada unsur penculikan membabitkan Musa seperti didakwa, malah, beliau mendakwa sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak itu.
“Musa diserahkan ibu kandungnya dengan rela hati. Amanah ini diberikan kepada saya. Ini bukannya isu perebutan, tetapi mengikut undang-undang dan disertai dengan dokumen.
“Sekarang Musa di bawah jagaan saya dan sangat gembira. Memang saya difitnah teruk,” katanya sambil mendakwa perbincangan mengenai penjagaan Musa bersama Mizz Nina selama ini, gagal.
Disember lalu, Noh pernah meluahkan rasa rindu terhadap Musa menerusi perkongsian di Instagram (IG).
Melalui entri sama, Noh buat kali pertama mendedahkan wajah buah hatinya itu sempena hari jadi Musa yang kedua tahun dan berdoa agar dapat disatukan serta si kecil mendapat layanan daripada seorang bapa.
Noh dan Mizz Nina atau nama sebenar, Shazrina Azman, 44, mendirikan rumah tangga pada Julai 2011, namun, bercerai pada Ogos 2022 dan tidak dikurniakan zuriat.
Pada September lalu, Noh bernikah dengan Fatin Athira Mustapa.
Mizz Nina pula mendirikan rumah tangga dengan penyanyi rap dan penulis lirik berketurunan Maghribi dari Seattle, Amerika Syarikat (AS), Essam Muhammad pada suku kedua tahun lalu.