KUALA LUMPUR: Honda Malaysia memanggil balik model City Hybrid 2021 dan Civic 2022 sebagai langkah keselamatan berjaga-jaga.
Dalam kenyataan hari ini, katanya sebanyak 630 unit City Hybrid 2021 sedang dipanggil balik untuk menggantikan kamera Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) yang dipasang pada cermin depan berikutan kamera tersebut mungkin tidak berfungsi dengan baik dan menyebabkan ADAS tidak diaktifkan semasa memandu.
“Sementara itu, 72 unit Civic 2022 turut terlibat (untuk dipanggil balik) sebagai langkah membaiki titik kimpalan pada pelaras gelongsor di tempat duduk pemandu.
“Ini mungkin menyebabkan kerusi pemandu tidak berada dalam kedudukan tetap semasa memandu dan boleh memberi kesan kepada perlindungan tali pinggang kaledar pemandu,” kata Honda Malaysia.
Menurut syarikat itu, pemeriksaan, pembaikan dan penggantian bagi bahagian yang terjejas adalah percuma, manakala semua kos berkaitan aktiviti memanggil balik ini akan ditanggung oleh Honda Malaysia.
Honda Malaysia berkata, setakat ini, tiada insiden kemalangan atau kecederaan dilaporkan berlaku disebabkan masalah ini.
“Honda Malaysia meminta pelanggan untuk memuat turun dan mengemas kini butiran mereka melalui aplikasi mudah alih HondaTouch untuk pengesahan lanjut dan akan dimaklumkan menerusi surat pemberitahuan, atau mereka juga boleh menghubungi mana-mana pengedar sah Honda.
“Kami memohon maaf berikutan kesulitan yang dialami pelanggan terbabit dan memberi jaminan bahawa model dalam pengeluaran dan penjualan semasa lain adalah tidak terjejas,” katanya.
Pemilik kenderaan boleh mendapatkan maklumat atau menyemak status kenderaan mereka berhubung langkah memanggil balik ini dengan menghubungi talian bebas tol Honda Malaysia 1-800-88-2020 atau melayari productrecall.honda.com.my. – BERNAMA