Tumpuan :
Nasional

HKM 2024 terima penyertaan tertinggi dalam sejarah

Malam Wartawan Malaysia bersempena Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2024 akan dilangsungkan pada 20 Jun 2025 di Kuala Lumpur.

CYBERJAYA: Malaysian Press Institute (MPI) menerima sebanyak 545 penyertaan daripada 58 pertubuhan media bagi merebut Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2024 (HKM 2024).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Ainol Amriz Ismail, penyertaan HKM tahun ini mencatatkan kenaikan 12 peratus, 545 penyertaan berbanding 488 yang diterima tahun sebelumnya.

Jumlah ini menunjukkan penyertaan tertinggi diterima oleh MPI.

“Kategori Kewartawanan Foto Terbaik meningkat 82% berbanding tahun lalu dengan 80 penyertaan, sekali gus menunjukkan penyertaan tertinggi. Ini diikuti oleh kategori Berita Video Terbaik dengan 65 penyertaan, manakala kategori Bicarawara Video Terbaik, 46 penyertaan,”

“Peningkatan penyertaan ini membuktikan daya saing dan komitmen tinggi pengamal media dalam menghasilkan karya berkualiti. Ia juga didorong oleh promosi agresif MPI termasuk mengadakan kunjungan hormat ke organisasi media dan sesi taklimat HKM yang pertama kali diadakan bagi membantu memberi pencerahan kepada warga pengamal media berkenaan HKM.” Ujar Ainol.

MPI juga menurut Ainol turut berbangga kerana berjaya menarik perhatian semua platform media apabila menerima penyertaan daripada organisasi media baharu yang menyertai HKM buat pertama kalinya.

Dalam pada itu, Ainol juga mengumumkan bahawa pencalonan bagi Tokoh Wartawan Negara, Tokoh Media dan Anugerah Khas akan mula dibuka pada awal Mac 2025.

Sekretariat akan mula menghantar surat kepada pertubuhan media, persatuan atau kelab wartawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan sivil yang berkaitan media, serta institusi pengajian tinggi bagi mendapatkan pencalonan penyertaan.

Tarikh akhir pencalonan tiga kategori ini adalah pada 9 Mei 2025.

Majlis penyampaian anugerah akan dilangsungkan semasa Malam Wartawan Malaysia pada 20 Jun 2025 di Kuala Lumpur. Pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM450,000 tajaan PETRONAS.

HKM mula diperkenalkan pada 1980 bertujuan mengiktiraf karya-karya kewartawanan terbaik pengamal media tempatan pada tahun dipertandingkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini