Tumpuan :
Nasional

HKL diiktiraf hospital keempat terbaik di Malaysia

Hospital Kuala Lumpur (HKL) terpilih menduduki tempat keempat bagi ranking Hospital Terbaik di Malaysia Newsweek 2024. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Hospital Kuala Lumpur (HKL) adalah satu-satunya hospital di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di kedudukan lima teratas bagi ranking Hospital Terbaik di Malaysia Newsweek 2024.

HKL menduduki tempat keempat dengan skor sebanyak 87.06 peratus; diikuti Pantai Hospital Kuala Lumpur dengan 86.99 peratus.

Hospital Glengeagles berada di kedudukan pertama dengan 89.50 peratus; Sunway Medical Center (88.84) dan Subang Jaya Medical Center (87.26), masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Turut tersenarai, Hospital Umum Sarawak di tempat ke-22 dan Hospital Putrajaya di kedudukan ke-26.

Jabatan Kecemasan adalah antara jabatan paling sibuk di Hospital Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

Skor setiap hospital adalah berdasarkan tinjauan dalam talian ke atas lebih 85,000 pakar perubatan dan data awam daripada pesakit selepas dimasukkan ke hospital.

Skor itu juga mempertimbangkan aspek kebersihan, nisbah pesakit dan doktor serta tinjauan statistik sama ada hospital menggunakan Ukuran Hasil Dilaporkan Pesakit (PROM), iaitu kajian soal selidik yang perlu dilengkapkan oleh pesakit untuk menilai pengalaman dan keputusan mereka.

HKL dibuka sejak 154 tahun lalu iaitu pada 1870 sebagai hospital daerah.

HKL mempunyai 53 buah jabatan dan unit-unit lain termasuk Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, Farmaseutikal, Latihan dan Penyelidikan, 28 buah jabatan klinik dan 12 klinik perkhidmatan sokongan.

HKL ialah sebuah hospital terbesar di bawah KKM dan dianggap salah satu yang terbesar di rantau Asia Tenggara (ASEAN).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini