Tumpuan :
Nasional

HISHAJ: wadah merapatkan ukhuwah dalam kalangan jemaah haji

Oleh: Aslina Abu Bakar

SHAH ALAM: Usai menunaikan ibadah haji, setiap ujian dan keindahan sepanjang berada di tanah haram menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan jemaah.

Sebaik tiba di tanah air, menjadi harapan mereka memperoleh Haji Mabrur untuk terus istiqamah mempraktikkan ibadah sebenar demi mendapat keredaan Ilahi.

Pelaksanaan Himpunan Persaudaraan Hujjaj (HISHAJ) yang berlangsung di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini semalam, menjadi wadah merapatkan ukhwah dalam kalangan jemaah haji musim ini.

Melalui program berkenaan juga sekaligus memberi peringatan kepada jemaah Haji musim 1444 Hijrah, untuk terus kekal Istiqamah melakukan amalan seperti mana ketika berada di Kota Mekah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jemaah haji perlu mengekalkan imej dengan perwatakan baik dan mencerminkan nilai-nilai murni dalam setiap perlakuan.

Jelasnya, pelaksanaan program HISHAJ dilakukan secara berperingkat di 84 masjid seluruh negara anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 5 Ogos lalu dan berakhir hari ini.

“Haji yang mabrur tidak hanya terbatas kepada melakukan manasik haji di Tanah Suci dengan sebaiknya sebaliknya memerlukan jemaah haji untuk terus istiqamah selepas pulang ke tanah air.

“Melalui program ini juga kami dapat bertemu para jemaah dan berkongsi pandangan mereka mengenai perkhidmatan yang diberikan oleh TH untuk ditambah baik pada masa akan datang,”katanya.

Sementara itu, peserta HISHAJ, Mohd Haida Mat Yazid, memanjatkan kesyukuran atas keizinan Allah S.W.T menemukan mereka kembali dalam perhimpunan yang memberi seribu satu makna.

“Ketika kami menunaikan haji , kami tinggal bersama-sama di dalam kemah selama 40. Jadi kami dah macam satu keluarga kerana tali persaudaraan dan ukhwah yang terjalin sejak itu menjadi begitu rapat.

“Apabila pulang ke tanah air, sukar untuk kami berjumpa, jadi melalui program ini sahajalah yang membantu kami untuk disatukan dan mengimbau kembali kenangan kami ketika berada di sana,” katanya.

Loading...
Terkini