Tumpuan :
Nasional

Himpunan Rakyat Benci Rasuah: 3 tuntutan kepada kerajaan, lebih 100 peserta berhimpun, berarak ke Dataran Merdeka

Lebih 100 peserta berhimpun di Dataran Merdeka dalam Himpunan Rakyat Benci Rasuah hari ini.

Oleh: Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Sektretariat Himpunan Rakyat Benci Rasuah hari ini menyatakan tiga tuntutan kepada kerajaan untuk dilaksanakan dalam menangani isu rasuah di negara ini.

Menurut Setiausaha Sekretariat Himpunan Rakyat Benci Rasuah, Zaim Zulkifli, tiga tuntutan itu antara lain bagi memisahkan kuasa badan eksekutif dengan agensi tertentu.

“Kami bawakan satu tuntutan yang mana kami rasa boleh membanteras isu-isu rasuah, tiga perkara pertama kami tuntut untuk dipisahkan Pejabat Peguam Negara (AGC) daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO). Kenapa, sebab kita nak elakkan berlakunya AGC itu dibawah pengaruh eksekutif.

“Kedua kita tuntut juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijadikan institusi lebih bebas dan diberi kuasa lebih dari sekadar siasatan semata-mata.

“Satu bentuk pembebasan ini adalah untuk meletakkan mereka dibawah Parlimen supaya siapa yang bertanggungjawab kepada pihak tersebut bukan kerajaan atau pembangkang tetapi rakyat,” jelasnya ketika ditemui di sini hari ini.

Manakala bagi tuntutan ketiga pula tambah Zaim, sekretariat itu menuntut agar Akta Pendanaan Politik (PFA) diwujudkan di negara ini bagi mengelak daripada gejala rasuah berleluasa terutama melibatkan parti politik.

“Kami rasa bahawa PFA ini satu ubat terbaik untuk kita elakkan salah guna kuasa untuk mendapatkan wang dalam negara kita kerana ‘pattern’ dia juga sama seperti isu kerajaan lawan dengan pembangkang isunya sama, iaitu kerajaan parti-parti tertentu mereka akan gunakan kedudukan mereka, kuasa mereka untuk mendapatkan wang.

“Wang itu didapatkan hanya untuk mengerakkan parti mereka, jadi kita tak nak isu ini berlaku. Kita yakin PFA ini solusi terbaik untuk menjawab isu-isu tersebut,” jelasnya lagi.

Terdahulu, lebih 100 peserta yang rata-ratanya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berhimpun di Dataran Merdeka dalam Himpunan Rakyat Benci Rasuah hari ini.

Mereka mula berhimpun kira-kira jam 2.30 petang di hadapan sebuah pusat membeli belah sebelum berarak melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka.

Pemerhatian Buletin TV3 mendapati, pasukan polis turut mengadakan kawalan keselamatan sepanjang himpunan itu berlangsung bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini