comscore
Tumpuan :
Nasional

Hilang selepas bertengkar, ibu rayu Nur Farisah pulang

Ibu rayu Nur Farisah Adlina pulang selepas keluar rumah pagi semalam. FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Bandar Baru Uda di sini, sejak semalam.

Ibunya, Saadah Abd Kadir, 40, berkata anak tunggal perempuannya, Nur Farisah Adlina Ismail keluar seorang diri dari rumah pada jam 7.30 pagi semalam tanpa pengetahuan keluarga.

Katanya, anak bongsu daripada tiga beradik itu juga tidak membawa telefon bimbit dan kad pengenalan ketika keluar.

“Pada malam sebelum Nur Farisah keluar rumah, kami ada bertengkar kerana saya tidak membenarkannya keluar bersama rakan pada malam itu.

“Saya juga marah kerana dia menipu dengan mengatakan mahu melawat ayah kandungnya yang kemalangan. Sedangkan ayah kandungnya tidak kemalangan dan sedang bekerja di Kelantan.

“Mungkin anak terasa hati dan merajuk dengan saya. Saya tidak berniat begitu dan hanya bimbangkan keselamatan anak saya.

“Selama ini jika anak kata hendak keluar berjalan pasti saya dan suami atau dua abangnya akan menemaninya. Ini kali pertama anak keluar seorang diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Saadah, kehilangan anaknya yang dipanggil Ina itu disedari suaminya yang melihat Ina membawa bag belakang dan beg luggage keluar dari rumah.

Katanya suaminya ada memaklumkan kepadanya dan mengekori Ina sehingga ke medan selera berdekatan.

“Suami melihat anak menarik beg luggage besar dan membawa beg belakang. Tetapi mungkin disebabkan bag luggage berat, anak tinggalkan di belakang rumah jiran.

“Suami terus mengekorinya dan melihat dia makan di medan selera berdekatan rumah, sebelum tiba-tiba hilang. Suami meminta izin melihat kamera litar tertutup (CCTV) di kedai makan terbabit dan melihat anak saya seorang diri.

“Sejak kehilangnya saya sekeluarga termasuk kawan-kawan anak lelaki saya mencari Ina, saya tidak tidur semalaman dan mencarinya di merata tempat. Saya sangat bimbang dengan keselamatannya, takut ada orang ambil kesempatan.

“Saya ketepikan rasa malu dan memohon agar masyarakat yang melihat anak saya untuk segera menghubungi saya di talian 0177908440,” katanya yang telah membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya di Balai Polis Tampoi, di sini petang semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini