Oleh: Kadir Edison
KUCHING: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Tawi Seli, sekitar jam 8.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa yang menunggang dari arah bulatan Batu Tiga menuju ke Jalan Datuk Bandar Mustapha dipercayai hilang kawalan terhadap motosikalnya sehingga terjatuh ke dalam longkang berdekatan.
“Akibat impak itu, mangsa berusia 51 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Umum Kuching,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis turut menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Amirul Zamri Ahmad di talian 016-8593994 atau 082-259900, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.