comscore
Tumpuan :
Nasional

Hidang telur ‘buruk’, pengurusan MARA diarah beri laporan penuh

Gambar telur busuk yang tular di media sosial hari ini.

KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) diarah untuk memberi laporan penuh berkaitan telur rebus ‘buruk’ yang dihidangkan kepada pelajar di sebuah Maktab Rendah Sains Mara MRSM di Negeri Sembilan, hari ini.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau menerima banyak mesej dan aduan melalui media sosial mengenai isu itu.

“Walaupun saya berada di luar negara, saya sudah mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA untuk segera siasat, ambil tindakan tegas dan pastikan kes seperti ini tidak berulang.

“Saya juga sudah minta laporan penuh daripada pengurusan MARA paling lewat esok,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah mengenai isu penyediaan makanan pelajar.

“Prinsip saya dalam hal ehwal kebajikan pelajar, tiada kompromi terhadap mana-mana kontraktor dewan selera yang ambil mudah dan enteng dalam isu penyediaan makanan pelajar.

“Jangan hanya mengejar untung atas kesusahan orang lain. Keuntungan atas kecurangan pastinya tiada keberkatan.

“Jika didapati kecuaian ini benar-benar berlaku, MARA pastinya akan ambil tindakan tegas termasuk menamatkan kontrak seperti perjanjian dan peraturan ditentukan,” katanya.

Terdahulu, beberapa gambar menunjukkan telur rebus ‘buruk’ yang dihidangkan kepada pelajar di sebuah MRSM di Negeri Sembilan, tular di media sosial, hari ini.

Tindakan cuai pihak penyedia makanan berkenaan mendapat kecaman orang ramai itu juga menyebabkan beberapa pelajar mengalami keracunan makanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini