PASIR MAS: Situasi banjir di Rantau Panjang dan Pasir Mas, Kelantan masih terkawal dan dakwaan dua kawasan itu lumpuh adalah tidak benar.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, terlalu banyak berita tular yang mendakwa dua kawasan itu terutama Rantau Panjang semakin kritikal dan lumpuh sekaligus menimbulkan kegusaran awam.
Beliau berkata, meskipun jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah mencecah 7,698 orang susulan paras air setinggi 11.04 meter namun situasi itu masih terkawal.
“Setiap tahun keadaan banjir memang begini dan jika dilihat rekod sebelum ini, ada yang melebihi angka 11,000 mangsa di PPS namun buat masa sekarang operasi menyelamat masih giat dijalankan.
“Setakat ini 24 PPS dibuka di Pasir Mas dan kita jangka bilangan mangsa akan terus bertambah dan lebih banyak PPS akan dibuka hari ini.
“Kami meminta orang ramai tidak menyebarkan berita tidak benar terutama dakwaan Rantau Panjang lumpuh sebaliknya menghubungi pihak berwajib untuk mengetahui maklumat sebenar,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Repek, di sini, hari ini.
Nik Aminuddin berkata, setakat ini jalan Pasir Mas-Rantau Panjang di culvert 5 sudah ditutup sejak pagi tadi berikutan dinaiki air sehingga paras satu meter.
Beliau berkata, laluan itu juga tidak dapat dilalui kenderaan berat namun operasi menyelamat mangsa banjir diteruskan menggunakan aset agensi penyelamat yang sesuai.
“Laluan itu sudah ditutup kepada semua kenderaan dan menyebabkan laluan ke Rantau Panjang melalui jalan utama terputus.
“Untuk daerah Pasir Mas termasuk Rantau Panjang, seramai 167 pegawai dan anggota membabitkan PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang baru tiba pagi tadi,” katanya.