Tumpuan :
Nasional

Punca isu Ashabul Kahfi kerana istilah – Mufti Pulau Pinang

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

GEORGE TOWN: Isu kisah Ashabul Kahfi sepatutnya tidak diperbesarkan sehingga menjadi polemik membingitkan.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan, bagi individu yang tidak atau kurang mendalami ilmu perbandingan agama dan sejarah Nabi, sudah tentu sukar bagi mereka memahami isu ini secara jelas.

Beliau berkata, ia sebenarnya  berkait dengan akidah Tauhid yang diyakini tujuh pemuda ketika berlindung di dalam sebuah gua demi bagi memelihara dan mempertahankan keyakinan itu.

“Punca kekeliruan berkaitan isu ini adalah kerana istilah ‘Kristian’ yang diguna oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan beliau apabila merujuk kepada Ashabul Kahfi.

“Berikutan istilah Kristian itu, maka seluruh Malaysia menjadi riuh rendah dengan pelbagai pihak memberi pandangan dan komen yang bercampur baur antara input akademik dan tujuan politik ,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Salim berkata, perlu dijelaskan bahawa kawasan Timur Tengah pada masa itu berada di bawah pemerintahan Rom Timur yang juga dikenali sebagai Empayar Byzantium, sedangkan agama empayar itu adalah Paganime.

Katanya, ulama tafsir dan ahli sejarah berbeza pandangan mengenai zaman kejadian ini.

Ramai yang berpendapat ia berlaku sebelum kelahiran Nabi Isa AS dan ada yang berpendapat ia berlaku selepas kelahiran Nabi Muhammad SAW.

“Susulan perbezaan pandangan ini maka berbezalah pula agama mereka dan jika peristiwa itu berlaku sebelum kelahiran Nabi Isa AS, maka sudah tentu mereka bukan beragama Kristian.

“Begitu sebaliknya jika peristiwa itu berlaku setelah Nabi Isa AS lahir, maka logiknya mereka beragama Kristian iaitu agama yang dijenamakan sempena nama Jesus Christ menurut sebutan orang Barat,” katanya lagi.

Menurut Wan Salim, perlu diketahui bahawa daripada perspektif Islam, sekalian Rasul Allah adalah menyeru kepada agama sama iaitu Islam dalam pengertiannya yang umum – menyerah kepada kehendak Allah SWT berpaksikan kepada akidah Tauhid (kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa).

Namun, di dalam perjalanan sejarah yang lama, maka berlaku penyelewengan terhadap ajaran Tauhid yang dibawa oleh Nabi Allah itu.

Terdahulu, tular di media sosial seorang penceramah bebas mengupas ucapan Perdana Menteri berkaitan tujuh pemuda Ashabul Kahfi ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), minggu lalu.

Loading...
Terkini