comscore
Tumpuan :
Nasional

Hentikan komen kematian Zayn Rayyan, boleh ganggu siasatan – Polis Selangor

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.- Foto: NSTP

SHAH ALAM: Komen berterusan orang ramai  berkaitan kes kematian  Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemukan meninggal dunia di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selasa lalu, bukan sahaja mengganggu siasatan polis malah emosi keluarga mangsa.

Justeru Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, menasihatkan orang ramai tidak mengeluarkan sebarang komen mengenai kematian kanak-kanak autisme itu.

“Pihak polis Kontinjen Selangor mengesan beberapa komen atau hantaran (berkaitan kes terbabit) di laman sosial Tik Tok.“

Justeru, orang ramai diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan kes yang masih dalam siasatan jenayah pihak polis.

“Komen-komen seperti ini bukan sahaja mewujudkan kegusaran kepada orang ramai tetapi mengganggu emosi keluarga yang dalam kesedihan di atas kehilangan anak disayangi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hussein juga meminta orang ramai agar memberi ruang kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan dan mengesan suspek yang terbabit dalam kes berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, polis menyiasat kematian Zayn Rayyan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan susulan laporan bedah siasat semalam.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam Rabu lalu oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama pihak polis.

Mangsa ditemukan terbaring di tepi anak sungai kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Blok R Apartmen Indah.

Kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini