comscore
Tumpuan :
Nasional

Hentian bas UiTM ada kemudahan cas USB 24 jam

Penolong Naib Canselor (Pembangunan) UiTM, Profesor Ts Sr Dr Md Yusof Hamid (dua dari kiri) bersama Pengarah UiTM Green Centre, Profesor Datin Dr Arnis Asmat (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Central Sugars Refinery Sdn. Bhd (CSR), Mohamad Zuki Wan Abdullah (tengah) pada majlis pelancaran Perhentian Bas Berkuasa Solar UiTM Shah Alam. – Foto: NSTP

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) memperkenalkan Projek Perhentian Bas Berkuasa Solar UiTM Shah Alam untuk manfaat lebih 1,000 penuntutnya.

Sebanyak lapan perhentian bas kampus utama UiTM Shah Alam yang terpilih dinaiktaraf menerusi projek itu dilengkapi dengan bekalan tenaga solar untuk pencahayaan (lampu) dan kemudahan pengecasan USB yang mampu beroperasi selama 24 jam.

Pengarah Pusat Hijau UiTM (UGC), Profesor Datin Dr Arnis Asmat, berkata lapan perhentian bas itu dipilih berdasarkan beberapa faktor termasuk penerimaan pencahayaan matahari yang maksimum, reka bentuk bumbung hentian bas dan penggunaan oleh pelajar.

Menurutnya, projek itu hasil kerjasama antara UGC bersama rakan strategik iaitu Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang menaja pemasangan sistem solar berkenaan.

“Perhentian Bas Berkuasa Solar ini dapat memberikan nilai tambah dalam pemasangan peranti tambahan dan meningkatkan kesedaran pengurangan jejak karbon melalui penggunaan teknologi hijau di kalangan masyarakat.

“Melalui Projek Perhentian Bas Berkuasa Solar sekaligus dapat mempromosikan gaya hidup kampus yang mampan melalui pengurangan jejak karbon di kampus,” katanya selepas Pelancaran Projek Perhentian Bas Berkuasa Solar yang disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor UiTM (Pembangunan), Profesor Dr Md Yusof Hamid di Perhentian Bas Dataran Cendekia, UiTM Shah Alam, semalam.

Loading...
Terkini