Tumpuan :
Nasional

Henti sebar spekulasi kes rogol remaja – polis

JASIN: Orang ramai diingatkan supaya berhenti membuat spekulasi berkaitan kes rogol seorang pelajar Tingkatan Empat kerana boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, selain perlu menjaga sensitiviti ahli keluarga, penyebaran maklumat tidak benar  juga dikhuatiri mengganggu siasatan.

Katanya, ketika ini kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 kanun sama.

“Susulan kejadian itu, tangkapan sudah dibuat ke atas ibu kandung dan juga bapa tiri mangsa berusia 16 tahun untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai diharap tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Biar pihak polis jalankan siasatan,” katanya hari ini.

Menurutnya juga, beberapa saksi sudah dipanggil dan dirakam keterangan termasuk rakan lelaki mangsa selain ahli keluarga lain.

Katanya, pihaknya akan memanggil beberapa lagi saksi lain dalam masa terdekat.

Buletin TV3 sebelum ini melaporkan seorang pengawal keselamatan direman seminggu  berhubung kes rogol pelajar Tingkatan  Empat yang juga anak tirinya hingga menyebabkan mangsa melarikan diri akibat trauma, bulan lalu.

Turut direman isterinya bagi membantu siasatan atas dakwaan bersubahat menyembunyikan perbuatan suspek .

 

Loading...
Terkini