comscore
Tumpuan :
Nasional

Henti hasut kedudukan Menteri Agama, Mufti Wilayah – PPSM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) menasihatkan semua pihak agar menghentikan segera tindakan menghasut dan menanam kebencian umat Islam terhadap kedudukan Menteri Agama dan Mufti Wilayah Persekutuan susulan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024.

Presidennya, Abu Suffian Abu Yaziz berkata, kedua-dua individu berkenaan bertanggungjawab dan dengan jelas sedang melaksanakan gagasan Pelan Transformasi al-Falah dalam pentadbiran Islam Syariah, pentadbiran hal ehwal Islam dan lain-lain.

“PPSM menolak sebarang desakan oleh mana-mana pihak supaya Menteri Agama dan Mufti Wilayah Persekutuan meletakkan jawatan dalam melaksanakan tugasnya disebabkan perbezaan pendekatan ijtihad dan khilaf pandangan terhadap segelintir pihak dalam memuktamadkan isu ini.

“Sewajarnya perbezaan ini menjadi adab yang perlu disantuni lebih-lebih lagi dalam merapatkan jurang perbezaan, kecelaruan pemikiran, fahaman dan iktikad dalam kalangan umat Islam mutakhir ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menggesa mana-mana pihak agar menghormati langkah kerajaan bagi menggubal RUU terbabit dalam usaha mengangkat martabat dan kedudukan institusi mufti sejajar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan akta yang berkuat kuasa di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Sebagai sosok yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pentadbiran Islam, kehakiman, perundangan syariah, pengurusan haji, umrah dan lain-lain, Abu Suffian berkata, desakan sedemikian adalah bukan amalan yang sihat serta profesional dalam pengurusan dan kepemimpinan organisasi.

Katanya, desakan itu berasas sekiranya secara jelas perkara tersebut melibatkan isu pelanggaran tatakelola atau terbukti tidak kompeten.

“Faktanya, RUU Mufti Wilayah Persekutuan dilakukan berdasarkan lunas undang-undang sedia ada seperti mana diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Qur’an dan Sunnah Abdul Hamid A Abu Sulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin menyarankan agar Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar digantikan dengan tokoh lain bagi menangani isu kemelut RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dengan lebih baik.

Malah menurutnya, kerajaan juga perlu memberi pertimbangan kepada cadangan agar seorang tokoh yang ‘lebih baik’ dipilih menduduki jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Mengulas lanjut, Abu Suffian mahu semua pihak untuk mengembalikan semula sifat tasamuh dan adab yang menjadi teras utama dalam membangunkan sebuah masyarakat MADANI serta ketepikan andaian yang bersifat dangkal dan sempit.

“PPSM mendukung prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam menyantuni ‘Adab al-Ikhtilaf’ (adab berbeza pandangan) seperti mana diamalkan oleh Salafus Soleh (sahabat Nabi SAW dan tabiin) dalam meletakkan kedudukan syariat Islam dan menterjemahkan amal Islami yang mulia dan berkeperibadian tinggi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini