comscore
Tumpuan :
Nasional

Henti bayar wang tebusan, mangsa terus gagal dihubungi

Oleh: Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Ugutan kepada keluarga mangsa pemerdagangan manusia untuk membuat bayaran sekadar umpan sindiket bagi mengaut keuntungan.

Pelbagai cara digunakan mereka dan dalam masa sama, mangsa berdepan penderaan fikizal juga tidak dibenarkan berhubung dengan keluarga sama sekali.

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memaklumkan, tiga mangsa sindiket penipuan kerja di Myanmar tidak dapat dihubungi selepas keluarga gagal membayar wang pampasan diminta sindiket mencecah RM100,000.

Setiausaha MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata ugutan dibuat melalui panggilan telefon dan video menunjukkan mangsa diikat dan dipukul supaya tuntutan sindiket dipenuhi.

Keluarga mangsa turut ditipu bahawa wang itu digunakan untuk kos perubatan dan membeli tiket membawa mangsa pulang ke tanah air.

“Kita dah jumpa macam-macam kes, ada yang minta pampasan hingga RM200,000 pun ada.

“Jadi saya ingatkan kepada semua rakyat Malysia jangan bayar satu sen pun kepada mereka. Ini adalah signal kepada scammer ini yang kita tidak akan bertoleransi kepada mereka, jadi kita akan mengambil tindakan dengan strategi kita sendiri, cuma syarat kepada keluarga mangsa, tidak membayar tebusan,” katanya.

Sementara itu, keluarga mangsa berkata selepas mereka berhenti membuat pembayaran mereka tidak lagi mendengar khabar mangsa.

“Mula-mula diaorang minta tebusan RM21,000, kami cuba usahakan sebab nak selamatkan adik, kami kumpul duit dan bank in, selepas satu minggu mereka minta lagi dan kami tak mampu, sejak daripada itu kami terus terputus hubungan dengan adik,” katanya.

Salah seorang mangsa yang berjaya lolos daripada cengkaman sindiket berkenaan berkata dia melarikan diri sebaik mengesyaki laluan digunakan pemandu tidak seperti lokasi dibincangkan.

Dia yang mahu dikenali sebagai Huda berkata, kesempatan itu digunakan untuk meminta bantuan polis Thailand.

“Saya cakap saya kena tipu, saya kena tipu, kemudian polis nampak dalam kenderaan agak kucar kacir lah.. Pemandu tu paksa saya bagi passport tapi saya cakap saya tak nak dan mahu bercakap dengan pihak polis.

“Kemudian polis suruh kami ke tepi dan dari situ saya ambil kesempatan menerangkan segala-galanya kepada pihak polis berkenaan,” katanya.

Untuk rekod sejak 2022, seramai 300 mangsa pemerdagangan manusia berjaya di bawa pulang ke tanah air dengan bantuan pelbagai agensi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini