Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Semua pihak yang bertanding pada pilihan raya enam negeri dan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu diminta untuk menghentikan aktiviti berkempen tepat jam 12 tengah malam ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ini kerana tempoh rasmi berkempen akan tamat pada jam 11.59 minit malam ini.
“Selepas tempoh kempen itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar beliau, semua parti atau calon bertanding dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara itu merupakan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Sebelum ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, seramai 572 calon bertanding di 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen Kuala Terengganu terdiri daripada 501 lelaki dan 71 wanita.
Daripada jumlah itu, 108 calon adalah calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (138), Perikatan Nasional (168), PAS (78), Parti Rakyat Malaysia (13), MUDA (19), Parti Sosialis Malaysia (4), Penang Front Party (2), Parti Utama Rakyat (1) dan Bebas (41).
Sebanyak 181 pertandingan membabitkan satu lawan satu, tiga penjuru (51), empat penjuru (13) dan lima penjuru (1) iaitu di kerusi DUN Lunas, Kedah.
Esok, seramai 9,674,456 pengundi akan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada pilihan raya negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Manakala bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu, melibatkan 122,160 pengundi.