comscore
Tumpuan :
Nasional

Helikopter TLDM terhempas: Hentikan spekulasi – Menteri

JOHOR BAHRU: Semua pihak diminta tidak membuat sebarang andaian dan spekulasi, berhubung punca kejadian nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak yang mengorbankan 10 kru pada 23 April lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, laporan siasatan (interim) yang sedang dijalankan adalah bersandarkan kepada fakta dan bukan andaian.

Justeru kata Khaled, kementerian memberi laluan kepada jawatankuasa penyiasat ruang sepenuhnya, untuk melengkapkan laporan insiden itu dalam tempoh ditetapkan.

“Saya tidak boleh cakap apa-apa berhubung perkara itu, bimbang disalah ertikan. Saya tunggu laporan rasmi.

“Sebab itu kita ada laporan siasatan, ada jawatankuasa supaya ia (penyiasatan nahas) betul-betul adalah rumusan bersandar fakta dan bukan kepada andaian.

“Ini sangat penting supaya ianya dapat menjaga dan memelihara perjalanan TLDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya berhubung spekulasi dan andaian punca nahas yang diperkatakan di media sosial.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika ditemui selepas Sambutan Hari Raya Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) negeri Johor dan Veteran UMNO Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan juga akan mempertimbangkan untuk meminta bantuan pakar luar negara dalam siasatan nahas terbabit.

Bagaimanapun katanya, situasi itu bergantung kepada hasil laporan interim yang akan diperolehi pada minggu depan.

“Saya percaya jawatankuasa itu akan mendapatkan kepakaran luar negara apabila ada keperluan kelak.

“Bila laporan interim keluar nanti, kita baru tahu siapa yang kita akan minta bantuan dan tentunya akan dirujuk apabila sampai tahap itu (selepas laporan interim selesai),”katanya.

23 April lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan nahas udara yang meragut 10 nyawa apabila dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak.

Kejadian membabitkan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan Fennec TLDM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini