comscore
Tumpuan :
Nasional

Helikopter terhempas: Tujuh mangsa lelaki, tiga wanita dibedah siasat di HRPB – Polis

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri

LUMUT: 10 mangsa yang maut dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini, pagi tadi membabitkan tujuh anggota lelaki serta tiga wanita.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata bagaimanapun identiti dan butiran lengkap semua mangsa hanya akan dimaklumkan oleh pihak TLDM selain hasil siasatan insiden itu diserahkan kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, kesemua mayat mangsa insiden membabitkan dua helikopter iaitu jenis HOM M5033 dan Fennec M5026 itu dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Lumut, di sini sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh selepas semua waris ahli keluarga mangsa tiba di Lumut.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian sedang dilakukan dengan diketuai oleh TLDM, dibantu polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang membabitkan dua lokasi pesawat terhempas iaitu berdekatan stadium bola sepak dan kolam renang dalam kawasan pengkalan TLDM itu.

“Semua mangsa sudah dibawa keluar (dari tapak nahas berlaku) seterusnya dihantar ke Hospital Angkatan Tentera di Lumut dan semua mangsa masih lagi di situ. Namun proses bedah siasat kita akan buat di Hospital Ipoh (HRPB).

“Siasatan masih di peringkat awal, dan kita serahkan kepada pihak ATM,” katanya dalam sidang media sempena nahas itu di pintu pagar hadapan Pengkalan TLDM Lumut, di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata dalam kejadian 9.30 pagi tadi, nahas berlaku apabila dua helikopter milik TLDM itu terhempas sewaktu melakukan latihan udara sempena Sambutan Hari Ulangtahun TLDM ke-90 yang bakal diadakan bermula 25 April hingga 5 Mei ini.

Dua helikopter itu dikatakan berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi dan berdasarkan video yang tersebar, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.

Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit dilihat hilang kawalan sebelum terhempas.

Pesawat HOM dikatakan terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini