LARUT: “Sebelum saya ke sekolah pagi kelmarin, ummi (ibu) berpesan, jaga diri baik-baik dan belajar rajin-rajin.
Anehnya sebelum ini dia tidak pernah berkata sebegitu. Kebiasaannya kami hanya sekadar bersalaman sebelum ke sekolah,” ujar Nur Alwani Fatihah Muhd Faizul, 12, yang kehilangan ibu, Pegawai Waran II Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Noorfarahimi Mohd Saedy, 41, dalam nahas udara kelmarin.
Anak kedua dari tiga beradik itu berkata, dia berasa sedikit pelik dengan pesanan terakhir dititipkan ibunya itu.
“Di sekolah pun saya rasa tak sedap hati dan terfikir mengapa ummi berpesan sebegitu? Saya hanya mengetahui tragedi menimpa ibu selepas dimaklumkan abang, Mohd Alif Farhan beberapa jam selepas tragedi,” katanya ditemui di kediaman ibu saudaranya di Banggol Jas, Sungai Bayor, Selama, di sini, semalam.
Sementara itu, anak sulung mangsa, Muhd Alif Farhan, 16, berkata, dia dan adik bercita-cita mahu mengikut jejak langkah ibu dan bapanya yang juga anggota TLDM. Menurutnya, kejadian itu meninggalkan kesan yang amat mendalam kepadanya.
“Memang amat sedih, tipulah kalau kami tak meratap atau menangis.“Namun perkara ini tidak mematahkan cita-cita kami untuk jadi sama seperti ibu. Kami lebih semangat untuk mengikut jejak langkahnya,” katanya.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Laila Fairus Ismail, 58, berkata, arwah memaklumkan akan berpencen pada bulan Jun ini dan begitu teruja dapat menaiki helikopter TLDM.
“Arwah pernah memaklumkan teringin mahu naik helikopter sebelum berpencen.
“Dia sempat membuat rakaman terakhir dan dimuatnaik dalam status WhatsApp miliknya,” katanya.
Menurutnya, Noorfarahimi memaklumkan mahu berpindah ke Kuantan, Pahang, selepas berpencen kelak susulan suaminya bertugas di sana.
Tambahnya lagi, dia dimaklumkan ahli keluarga bahawa jenazah arwah dalam keadaan sempurna dan hanya terdapat kecederaan pada bahagian kepala sahaja.
Sementara itu, kakak sulung mangsa, Nurlaida Mohd Saedy, 55, berkata, arwah adiknya sempat membuat rakaman video pemandangan dari atas helikopter sebelum tragedi sebelum dikongsi di aplikasi WhatsApp keluarga.
“Difahamkan arwah tidak pernah menaiki helikopter sebelum ini. Dia hanya berpeluang menaiki helikopter TLDM sepanjang latihan raptai selama tiga hari,” katanya.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Damak, Sungai Bayor selepas selesai urusan bedah siasat atas permintaan suaminya.‘
Terdahulu media melaporkan dua helikopter milik TLDM terbabit nahas di udara ketika menjalani latihan raptai sempena Hari Terbuka Armada yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.
Kejadian itu menyebabkan 10 anggota dari dua helikopter berkenaan terkorban.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Helikopter Terhempas: Jasad Sivasutan, Joanna akan disemadi di kampung halaman masing-masing
- Helikopter terhempas: Bumi Sik dibasahi hujan, sambut kepulangan jenazah Muhammad Faisol
- Helikopter terhempas: Jenazah Komander Muhammad Firdaus selamat dikebumikan
- [VIDEO] Helikopter terhempas: Jenazah Wan Rezaudeen Kamal dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah
- [VIDEO] Helikopter terhempas: Jenazah Mohd Shahrizan selamat dikebumikan
- Helikopter terhempas: Jenazah Noor Rahiza selamat dikebumikan
- Helikopter terhempas: Kerajaan tanggung yuran pengajian anak Allahyarham Mohd Sharizan
- Helikopter terhempas: Jenazah Joanna Felicia Rohna tiba di Kuching
- [KEMAS KINI] [VIDEO] Nahas helikopter di Lumut, 10 maut
- [VIDEO] Nahas helikopter di Lumut: TLDM sahkan semua 10 mangsa maut
- [KEMAS KINI] Helikopter terhempas: Identiti dan wajah 10 mangsa nahas