comscore
Tumpuan :
Nasional

Helikopter terhempas: Nahas tinggalkan kesan mendalam kepada TLDM

Oleh: Hilmi Abdul Malik 

PETALING JAYA: Tragedi nahas dua buah helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut baru-baru ini sememangnya meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada seluruh warganya.

Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, pemergian kesemua 10 anggota dalam nahas berkenaan merupakan satu kehilangan besar buat badan ketenteraan itu.

Bagaimanapun beliau yakin kedua-dua juruterbang berkenaan telah berusaha sedaya upaya bagi mengelakkan peristiwa hitam itu berlaku.

“Saya yakin dan percaya, dengan tahap kompetensi dan pengalaman yang luas, juruterbang kedua-dua pesawat ini pastinya telah berusaha sebaik mungkin untuk mengelak dari berlakunya malapetaka sebegini.

“Namun, sebagai umat Islam yang beriman, kita wajib menyakini bahawa Qada dan Qadar itu adalah daripada Allah. Kita hanya mampu merancang, namun Allah jualah yang menentukan segala-galanya.

“Semoga roh mereka yang terkorban dalam tragedi ini dicucuri rahmat, bersemadi dengan aman serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan juga para syuhada. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut memberi jaminan bahawa kebajikan melibatkan kesemua waris akan terus dipelihara

“Saya secara peribadi merasai kesedihan ahli keluarga mangsa, tatkala menghadapi detik dan waktu yang amat sukar ini. Saya berdoa agar seluruh ahli keluarga mangsa bertabah hati, bersabar dan diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan ini.

“Saya juga berjanji akan memastikan satu siasatan yang komprehensif dan terperinci dijalankan oleh Lembaga Siasatan yang ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” ujarnya lagi.

Pada 23 April lalu, negara dikejutan dengan insiden dua buah helikpoter milik TLDM yang terhempas di perkarangan Pangkalan Tentera Laut (TLDM) Lumut.

Tragedi itu melibatkan dua buah helikopter jenis Helikopter Operasi Maritim HOM AW 139 dan Fennec yang telah meragut 10 nyawa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini