comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Helikopter terhempas: Beri kepercayaan Lembaga Siasatan TLDM siasat nahas

 

KUALA TERENGGANU: Kerajaan sedia mendapatkan khidmat pakar dari luar negara jika diperlukan untuk membantu siasatan nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada Selasa lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Lembaga Siasatan TLDM untuk menjalankan siasatan berhubung insiden malang itu.

Menurutnya, ia termasuk mendapatkan bantuan pakar dari luar negara sekiranya ada keperluan.

Katanya, siasatan ketika ini membabitkan pihak TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pakar-pakar lain termasuk syarikat pengeluar helikopter.

FOTO: NSTP

“Saya sudah umumkan iaitu laporan interim dalam masa dua minggu, manakala laporan penuh dalam masa 30 hari bekerja.

“Jangan ganggu (siasatan), kita tak nak nanti kerana ini nak cepat. ‘No’, kita nak tahu apa (yang berlaku) supaya tak berulang benda ini, kita mesti beri kepercayaan kepada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Penyerahan Projek Siap di Kampung Dusun Tembakau, Manir di sini, hari ini.

Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, setakat ini tiada keperluan untuk menggantung sementara perkhidmatan helikopter jenis HOM (M503-3) dan Fennec (M502-6) yang terbabit dalam nahas berkenaan.
“Setakat hari ini, kita tidak ke arah itu (gantung sementara),” katanya.

Pada Selasa lalu, dua helikopter TLDM bertembung ketika raptai lintas hormat sempena Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Nahas itu mengorbankan 10 mangsa masing-masing tujuh kru dan tiga penumpang dua helikopter yang berlepas dari Padang Sitiawan, Perak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini