Tumpuan :
Nasional

Helikopter terhempas: Bangkai dua helikopter TLDM ditempatkan di kawasan khas

 

LUMUT: Bangkai dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut kelmarin selesai dialihkan dari lokasi kejadian, hari ini.

Sumber yang dipetik Harian Metro berkata , kerja-kerja pengalihan bangkai serta serpihan pesawat Fennec (M502-6) yang terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut dan pesawat HOM (M503-3) di Stadium TLDM Lumut tamat kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, bangkai helikopter itu kemudian ditempatkan di kawasan khas di dalam pangkalan bagi melancarkan proses siasatan.

“Bangkai aset TLDM ini dikekalkan di dalam pangkalan untuk memudahkan pemeriksaan dan berdasarkan kejadian, mungkin ada cross check (semak silang) atau simulasi-simulasi yang perlu dijalankan ke atas pesawat,” katanya.

Semalam, media melaporkan, laporan interim mengenai tragedi yang mengorbankan 10 anggota dan pegawai TLDM itu akan disediakan dalam tempoh dua minggu, manakala laporan penuh akan diterbitkan atau disediakan dalam tempoh sebulan.

Tragedi helikopter terhempas itu berlaku pada jam 9.32 pagi, ketika raptai perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini