KUCHING: “Saya mahu kakak dikuburkan di sini dan mahu melihat dia buat kali terakhir,” itu luahan Honey Viviane Francis ketika mengetahui kakaknya, Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia Rohna terkorban dalam nahas helikopter pagi tadi.
Honey, 16, berkata berita sedih mengenai pemergian kakaknya itu disampaikan oleh ayahnya yang datang ke sekolah untuk memaklumkan kepada dia dan adiknya pada jam 11 pagi tadi.
“Bapa turut menunjukkan video helikopter yang terhempas itu. Saya terkejut hingga tidak dapat berkata-kata seakan tidak percaya kakak sudah tiada, rasa macam semalam baru berborak dengan dia,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Sumpas Tampek, kira-kira 110 kilometer dari sini.
Pelajar Tingkatan Empat itu berkata, kali terakhir dia bertemu dengan kakaknya pada sambutan Hari Gawai tahun lalu dan pesanan daripada kakaknya supaya belajar bersungguh-sungguh serta menjaga ahli keluarga dengan baik masih terngiang-ngiang.
“Dia seorang saja kakak saya, saya sangat sedih tapi reda kerana Tuhan lebih sayangkan dia,” katanya dalam nada sayu.
Joanna antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada jam 9.32 pagi semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang TLDM ke-90.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Johny Mayi berkata, ibu bapa Joanna menerima berita kematian anaknya menerusi panggilan telefon daripada pihak TLDM di Lumut.
“Pada ketika itu, berita kematian anak saudara saya belum dapat disahkan…hinggalah selepas sejam kemudian kami tengok di media sosial.
“Semasa menerima panggilan telefon itu, kami baru sahaja mahu makan tengah hari. Mak Joanna ketika itu terkejut dan tidak percaya dengan kejadian yang menimpa anaknya,” katanya.
Johny berkata, pada kira-kira jam 3.30 petang tadi, kedua ibu bapa Joanna dibawa oleh pegawai TLDM ke lapangan terbang untuk ke Perak bagi proses pengecaman dan pengurusan jenazah. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- [KEMAS KINI] Helikopter terhempas: Identiti dan wajah 10 mangsa nahas
- Helikopter terhempas: Tujuh mangsa lelaki, tiga wanita dibedah siasat di HRPB – Polis
- [KEMASKINI] [VIDEO] Nahas helikopter di Lumut, 10 maut
- Nahas helikopter di Lumut, dipercayai berlanggar di udara
- [VIDEO] Nahas helikopter di Lumut: TLDM sahkan semua 10 mangsa maut
- Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi helikopter Lumut
- Mindef akan nilai semula penganjuran ulang tahun TLDM ke-90
- Nahas helikopter di Lumut: CAAM aktifkan Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika KL
- Helikopter terhempas: Identiti 10 mangsa sedang dikenal pasti – Khaled Nordin
- [VIDEO] Helikopter terhempas: Laporan interim nahas akan disediakan secepat mungkin
- Helikopter terhempas: Sultan Selangor zahir rasa amat sedih, dukacita
- Helikopter terhempas: 21 anggota bomba terbabit dengan operasi mengeluarkan mangsa