comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Helikopter mendarat cemas, 4 kakitangan KKM selamat

Tangkap layar menunjukkan kedudukan helikopter yang melakukan pendaratan kecemasan berhampiran sungai di pedalaman Penampang. – FOTO: Ihsan Sabah Air

KOTA KINABALU: Empat kakitangan Kesihatan Kementerian (KKM) berdepan detik cemas selepas helikopter dinaiki mereka melakukan pendaratan kecemasan di tebing sebuah sungai terpencil di Penampang, dekat sini, tengah hari tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika pesawat jenis Bell 206B JetRanger milik Layang Layang Aerospace Sdn Bhd itu dalam penerbangan membawa empat kakitangan KKM terbabit untuk program doktor udara di kawasan terpencil Sabah.

Bagaimanapun, empat kakitangan KKM terbabit bersama juruterbang pesawat dilaporkan selamat.

Pengurus Besar Layang Layang Group, Kapten Shahdon Poong, melalui kenyataan memaklumkan helikopter terbabit dalam penerbangan rutin untuk Perkhidmatan Doktor Udara dari Kota Kinabalu ke Kampung Saliliran di Nabawan.

Katanya, pendaratan cemas dilakukan selepas satu daripada tolok parameter enjin helikopter menunjukkan penurunan bacaan secara beransur-ansur.

“Sebagai tindak balas, juruterbang segera mengikut prosedur kecemasan dan melaksanakan ‘autorotation manoeuvre’ sebelum berjaya mendaratkan helikopter di kawasan terbuka yang selamat sepanjang tebing sungai di Kampung Buayan, Penampang.

“Sejurus mendarat, juruterbang mematikan pesawat dan meminta bantuan daripada Sabah Air Aviation sebelum sebuah helikopter dihantar untuk mengambil kakitangan KKM balik ke Kota Kinabalu,” katanya.

Tambah beliau lagi, pakar teknikal turut dihantar ke lokasi untuk menilai situasi dan mengenal pasti punca sebagai kerosakan sistem amaran.

“Pesawat diperbetulkan di lokasi dan selepas ujian penerbangan yang teliti, ia kembali ke Kota Kinabalu tanpa sebarang isu.

“Helikopter itu kini menjalani pemeriksaan menyeluruh bagi menentukan punca kerosakan sistem amaran itu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini