Tumpuan :
Nasional

Hebahkan cerita positif rakyat sama-sama bantu mangsa banjir – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (hadapan, tengah) bergambar bersama penyumbang pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI Kep

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu cerita rakyat berbilang kaum dan agama bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dihebahkan, bagi menonjolkan semangat perpaduan yang menjadi keunikan negara ini.

Perdana Menteri berkata kelebihan itu perlu dimanfaatkan oleh rakyat kerana banyak negara lain tidak memiliki keunikan yang ada pada Malaysia.

“Hari ini saya lontarkan sedikit pandangan kerana dalam kalangan pegawai dan penjawat awam yang bertugas secara sukarela serta bertanggungjawab dalam menyempurnakan (tugas).

“Macam saya baca tadi, tentera, bomba, APM (Angkatan Pertahanan Awam), ATM (Angkatan Tentera Malaysia), semua sekali 80,000 orang.

“Kemudian kita ada masyarakat sivil dan kemudiannya rakan GLC (syarikat berkaitan kerajaan), bank, syarikat swasta dan individu.

“Saya bagi contoh hari itu macam berlaku di Kelantan. Kawan saya maklum, dia bukan persatuan, dia adalah peniaga Cina sederhana. Dia kumpul sekitar 10 lori besar barang makanan dan hantar (kepada mangsa banjir).

“Jadi ini cerita yang positif di Malaysia, semua kaum, agama ambil sikap. Ada masalah rakyat turun (bantu).

“Jadi (ini) yang kita patut bantu hebahkan kerana ini berita positif (berbanding) kadang-kadang ini (kita dengar berita) pergelutan soal kaum, soal agama, perselisihan tetapi ini cerita yang sangat positif.

“Saya lihat terutamanya perkembangan (seperti di Malaysia) banyak negara tak boleh macam itu,” katanya ketika berucap di Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI untuk mangsa banjir di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus.

Menyentuh kesiapsiagaan oleh kerajaan, Anwar berkata ia sudah dilakukan sekitar dua hingga tiga bulan lebih awal sebelum bencana banjir berlaku yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara.

Namun begitu, beliau mengakui segala perancangan yang dibuat itu ada yang tidak sempurna.

“Tentunya tidak sempurna tetapi setidak-tidaknya kita akui sesuatu usaha yang bersungguh-sungguh dan bagi yang turun ke bawah, boleh lihat dedikasi penjawat awam kita.

“Termasuk juga (dedikasi ditunjukkan oleh) masyarakat sivil dan peniaga-peniaga yang begitu baik. Tentulah kita tak boleh katakan semuanya tetapi sebahagian besar yang perhatikan, (berdasarkan) laporan sangat membanggakan.

“Bila saya usulkan sektor swasta juga terlibat, saya tahu memang sudah ada ambil ikhtibar.

“Tetapi saya rasa mesej ini penting dan jelas kepada rakyat bahawa kita ini kerja berpasukan dan komitmen itu menyeluruh dalam kalangan semua masyarakat, semua kaum. Inilah keunikan yang ada pada Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini