comscore
Tumpuan :
Nasional

HDK akan jadi orang tengah antara doktor kontrak dan KKM

Foto NSTP – Dr Muhammad Yassin menyerahkan memorandum kepada Dr Zaliha di Putrajaya hari ini.

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Lebih kerap sesi libat urus di antara Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) akan diadakan pada masa akan datang bagi menyelesaikan isu berbangkit terutama mengenai kebajikan staf kesihatan berstatus kontrak.

Jurucakap gerakan, Dr Muhammad Yassin berkata, itu jaminan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa selepas mengadakan pertemuan dan menerima memorandum daripada Sekretariat HDK di bangunan KKM di sini petang tadi.

Dalam memorandum tersebut, HDK menuntut tiga perkara antaranya penyertaan wakil dari Sekretariat HDK bagi menganggotai Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang ditubuhkan oleh pihak kementerian bagi membincangkan krisis dan isu melibatkan kepentingan doktor kontrak.

Dr Muhammad berkata, pihaknya percaya penglibatan wakil itu dapat memberi lebih makna dalam perbincangan dengan mewakili suara dasar yang berkepentingan.

“Menteri tengok memorandum kita. Untuk (penyertaan wakil sekretariat di) Jawatankuasa Peringkat Tertinggi mungkin susah kerana ia di peringkat kabinet. Tetapi beliau (menteri) berjanji akan mengadakan sesi libat urus secara kerap dengan HDK dan kumpulan lain.

“(Sesi itu) supaya kita boleh menjadi orang tengah di antara doktor kontrak dan juga kerajaan serta jawatankuasa berkenaan,” katanya yang ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Dr Zaliha.

Pada 1 April lalu, Kabinet bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang menggabungkan beberapa kementerian dan agensi, termasuk membabitkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad berkata, tuntutan kedua memorandum adalah meminta kerajaan menyegerakan proses penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan sebagai langkah memperkasakan kebajikan dan jaminan kerjaya untuk staf kesihatan kontrak di negara ini.

“Menteri maklumkan kedua-dua suruhanjaya ini memang ada dalam Kertas Putih Kesihatan dan beliau akan bentang di Parlimen. Jadi kita akan tunggu,” katanya.

Selain itu, KKM dan kerajaan dimohon untuk segera mengambil langkah proaktif dalam melindungi kebajikan keseluruhan staf kesihatan kontrak.

Ini merangkumi isu jaminan pekerjaan, perkembangan kerjaya, dan kelebihan lain yang dinikmati oleh staf kesihatan lain yang berstatus tetap, tanpa berat sebelah.

Ditanya mengenai tindakan seterusnya daripada Gerakan HDK sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi termasuk kemungkinan penganjuran mogok, Dr Muhammad berkata, setakat ini mereka tidak memikirkan perkara itu.

“Minggu lalu dikatakan berlaku mogok tetapi ia tidak mendapat sambutan. Banyak tuduhan mengatakan ia adalah gerakan politik dan sebagainya. Buat masa ini, biar kita sambut Aidilfitri dahulu dan akan lihat perkembangan selepas itu,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan kumpulan doktor kontrak merancang untuk mengadakan mogok selama tiga hari dari 3 hingga 5 April dengan tidak akan hadir bertugas serta mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan.

Loading...
Terkini