comscore
Tumpuan :
Nasional

Hayati sambutan Maulidur Rasul, perbanyak selawat

Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul 1446 Hijrah.

KUALA LUMPUR: Semua umat Islam diajak menghayati nilai-nilai murni yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW, khususnya dalam kehidupan seharian.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran yang dimuat naik di laman sosial berkata, sambutan Maulidur Rasul ini bukan hanya sekadar memperingati kelahiran Baginda, tetapi juga mengingatkan umat Islam untuk terus mencontohi keperibadian mulia serta memperkukuh ukhuwah dalam masyarakat.

“Semoga semangat Maulidur Rasul ini mendorong kita semua untuk terus berusaha mencapai kejayaan dan kemajuan, bukan hanya dalam kehidupan duniawi tetapi juga ukhrawi di samping beristiqamah dalam meneladani Baginda.

“Semoga kita dapat bersama-sama membina sebuah negara yang lebih sejahtera dan makmur. Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut mengajak umat Islam untuk memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad bagi menunjukkan rasa cinta kepada Baginda.

Beliau berkata, tema sambutan tahun ini, ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ adalah manifestasi daripada inti pati ajaran Rasulullah SAW dan ia satu tema yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan hakiki dunia dan akhirat.

“Marilah kita bersama-sama merenung sunnah dan ajaran Baginda dalam usaha menjadi umat yang diredai Allah SWT.

“Semoga kita sentiasa memantapkan keyakinan, meningkatkan kecintaan, mencontohi pelakuan dan menghayati al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, serta memperoleh syafaat Baginda di Padang Mahsyar kelak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini