Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Hayati mesej kesederhanaan ibadah haji, tidak terpukau tarikan kemewahan dunia – PM

 


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam agar menghayati mesej kesederhanaan yang dipaculkan dalam ibadah haji agar sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan tarikan kemewahan dunia yang sementara.

Dalam perutusan Hari Raya Aidiladha 1445H hari ini, beliau berkata, haji punyai maqasid kerohanian yang tersendiri, bertujuan merubah jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana.

Menurut Perdana Menteri, peluang mengembara ke Makkah untuk menunaikan haji adalah antara kurniaan besar ilahi kepada hamba-Nya.

“Kita mengenang manasik haji sebagai salah satu Rukun Islam. Tatkala berihram dengan pakaian serba putih nan kosong, kita diasuh dengan nilai kebersihan dan kesederhanaan. Segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan.

“Demikian juga wuquf di Arafah, suatu perhimpunan raksasa tanpa mengira status, darjat dan pangkat, membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Azza wa Jalla. Inilah tonggak kekuatan Haji yang tidak tertandingkan, terpancar menerusi penghayatan dan amalan.

“Atas iktibar ini saya mengajak umat Islam agar menghayati mesej kesederhanaan yang dipaculkan dalam ibadah haji agar sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan tarikan kemewahan dunia yang sementara. Jangan kita terpesong dari tujuan,” katanya.

Perdana Menteri juga mengingatkan, dunia harus menjadi jambatan menuju ‘negeri abadi’ dan ketika meraikan kemeriahan Aidiladha bersama keluarga, jangan dilupakan saudara asnaf di kota dan desa.

“Kongsilah nikmat tuhan bersama mereka dan bahagiakan mereka dengan mengerjakan ibadah korban,” katanya dan memetik hadis riwayat al-Bayhaqi mengenai sabda Rasullah SAW berkait hubungan sesama manusia.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya antara amalan yang paling disukai Allah ialah memasukkan kegembiraan ke dalam hati mukmin, iaitu melepaskan dia dari kesedihan atau menyelesaikan hutang yang ditanggunginya, atau memberinya makan ketika dia kelaparan”.

Perdana Menteri mengakhiri perutusannya dengan mendoakan agar jemaah yang kini berada di Tanah Suci beroleh haji yang mabrur dan semoga pulang ke tanah air dengan sejahtera.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini