comscore
Tumpuan :
Nasional

HAWANA 2023 signifikan tentukan hala tuju media di Malaysia

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Ipoh, Perak hujung bulan ini, amat signifikan bagi menentukan survival atau daya hidup dan hala tuju kebebasan media di negara ini, kata Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Lichong Angkui.

Beliau berkata ucap tama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada acara kemuncak sambutan itu menjadi tumpuan media mengenai dukungan Kerajaan Perpaduan terhadap aspek kebebasan dan keselamatan media.

Katanya, inti pati ucapan Perdana Menteri menjadi perhatian kerana inilah kali pertama Anwar berucap pada perhimpunan terbesar wartawan dari seluruh negara yang berkampung di Ipoh nanti.

“Perhimpunan HAWANA 2023 kali ini menjadi wadah perbincangan mengenai survival dan hala tuju kebebasan media di negara ini.

“Ia amat signifikan dalam konteks kebebasan dan keselamatan media susulan kedudukan Malaysia meningkat ke tangga 73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berdasarkan laporan Reporters Without Borders (RSF),” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam indeks berkenaan, kedudukan Malaysia meningkat 40 anak tangga dengan mencatat 62.83 mata berbanding tahun sebelumnya pada kedudukan 113 dengan 51.55 mata.

Malaysia turut menduduki kedudukan tertinggi di ASEAN, diikuti Thailand pada kedudukan ke-106, Indonesia (108), Singapura (129), Filipina (132), Brunei (142), Kemboja (147), Laos (160), Myanmar (173) dan Vietnam (178).

Lichong yang juga Anggota Jawatankuasa HAWANA 2023 berkata ketika menyentuh mengenai soal kebebasan dan keselamatan media, ada yang menganggapnya subjektif mengikut persepsi atau sisi pandang berbeza.

Sehubungan itu, beliau berharap HAWANA 2023 akan menjadi platform terbaik untuk berbincang dan mencari titik persamaan mengenai soal kebebasan dan keselamatan media.

Sambil berharap HAWANA 2023 menghasilkan dimensi baharu dalam konteks kebebasan dan keselamatan media, Lichong turut menghargai komitmen Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang kini lebih proaktif dalam mendepani cabaran media dan dunia kewartawanan di negara ini.

Beliau berkata, sokongan kuat KKD dalam menjayakan HAWANA 2023 ialah cerminan pengiktirafan dan penghargaan tertinggi kerajaan kepada pengamal media di negara ini.- BERNAMA

Loading...
Terkini