comscore
Tumpuan :
Nasional

Hattem Rashdi meninggal dunia, nahas di litar lumba

Pelumba ESR Motor, Hattem Rashdi meninggal dunia selepas mengalami kemalangan pada perlumbaan drag di Pekan, Pahang kelmarin. – Foto: Hattem Rashdi / Facebook

KUANTAN: Pelumba drag Hattem Rashdi, 22, meninggal dunia selepas 12 jam bertarung nyawa susulan kemalangan di litar lumba ketika menyertai perlumbaan Malaysia Drag Bike National ET Record di Pekan, Pahang kelmarin.

Berita pemergian Hattem dimaklumkan oleh kakaknya di laman Instagram pelumba itu.

“Assalamualaikum, saya ingin memaklumkan Hattem Rashdi meninggal dunia pada jam 2.29 petang, hari ini (Isnin).

“Mereka yang mengenalinya boleh menghadiri pengebumiannya pada jam 9 pagi esok (Selasa). Terima kasih. Al-Fatihah,” tulis kakaknya.

Foto: Hattem Rashdi / Facebook

Hattem yang mewakili ESR Motor dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan memandangkan keadaannya makin tenat.

Pemilik ESR Motor, Adib Affandi Mohamad memaklumkan jenazah Hattem dibawa pulang ke kampung halamannya di Alor Janggus, Kedah bagi urusan pengebumian.

“Allahyarham adalah pelumba litar drag berbakat dan menjadi pelumba ESR Motor sejak dua tahun lalu.

“Difahamkan, jentera yang ditunggangi Allahyarham berhadapan masalah teknikal sebelum terbabas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu semalam.

Loading...
Terkini