Tumpuan :
Nasional

Hasrat anak yatim piatu masuk UPSI tercapai

Pegawai WEZAS, Nurul Anuar Jamasan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Fazlee semasa hari pendaftaran Sabtu lalu.

TANJUNG MALIM: Hasrat Muhammad Fazlee Nor Shaidun, 20, melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akhirnya menjadi kenyataan walaupun mulanya dilihat sukar kerana masalah kewangan yang ditanggung.

Anak yatim piatu berasal dari Jeli, Kelantan yang ditawarkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu itu bersyukur kisah hidupnya yang terpapar di media sosial mendapat perhatian pihak UPSI yang prihatin dengan nasibnya.

Muhammad Fazlee adalah lepasan tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku dan Maktab Rendah Sains Mara, Jeli ini hampir putus harapan kerana tidak mampu membuat persiapan dan membayar pendaftaran.

Ibunya meninggal dunia ketika usianya 41 hari manakala ayahnya meninggal dunia sewaktu usianya setahun. Kemudian Muhammad Fazlee dipelihara oleh datuk dan neneknya sehingga sekarang.

Demi mengejar cita-cita, Muhammad Fazlee bekerja sambilan sebagai penghantar barang untuk mengumpul wang memasuki universiti, namun tidak mampu menampung hingga menimbulkan kerisauan tidak dapat mendaftar kerana pendapatannya hanya cukup untuk membeli makanan seharian sahaja.

Muhammad Fazlee yang ditempatkan penginapan di Kolej Aminuddin Baki melahirkan rasa bahagia dan seperti tidak percaya dapat menyambung pengajian meskipun hampir hilang harapan.

Pengarah Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI, Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir berkata, bersimpati dengan kisah Muhammad Fazlee, maka UPSI memberikannya bantuan menerusi Skim Bantuan Pendaftaran Pengajian bagi semester satu.

Muhammad Fazlee adalah antara 93 pelajar yang menerima bantuan skim bantuan pendaftaran pelajar baru bagi kemasukan semester satu sesi 2024/25 dan daripada 4,195 calon yang berjaya dalam permohonan .

Beliau berkata pelajar-pelajar yang menerima skim ini di bahagikan kepada dua bentuk bantuan iaitu kategori kritikal seramai 36 pelajar akan menerima bantuan sebanyak RM3, 000 manakala kategori separa kritikal iaitu seramai 57 pelajar diberikan bantuan sebanyak RM1,500. Ini menjadikan sebanyak RM193,500.00 diperuntukkan untuk skim bantuan ini.

“UPSI sentiasa prihatin dengan keadaan latar belakang calon yang berjaya memasuki universiti ini tetapi mengalami masalah kewangan berikutan ketidakmampuan keluarga” katanya.

Beliau berkata pihak WEZAS dengan kerjasama pihak Bendahari, Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA) membuat saringan data pendaftaran pelajar baharu bagi mengenalpasti pelajar yang memerlukan bantuan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin turut melahirkan rasa gembira atas kejayaan Muhammad Fazlee dapat melanjutkan pengajian di universiti yang tersohor dalam melahirkan pendidik itu.

“Semoga adik Muhammad Fazlee akan belajar dengan bersungguh-sungguh dan aktif sepanjang pengajian untuk bersama-sama mengharumkan nama universiti,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini