Tumpuan :
Nasional

Hasrat 46 PATI Indonesia pulang sambut Aidilfitri gagal

46 migran warga Indonesia ditahan dalam serbuan ke atas sebuah rumah teres dipercayai dijadikan transit. FOTO: Ihsan D3 Bukit Aman

KUALA SELANGOR: Hasrat 46 warga Indonesia untuk menyambut lebaran dengan pulang ke tanah air menggunakan khidmat sindiket penyeludupan manusia didalangi Geng Herman tidak kesampaian apabila mereka ditahan dalam serbuan ke atas rumah transit di Puncak Alam di sini, semalam.

Dalam serbuan Op Pintas kira-kira 7 malam itu, pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan terdiri daripada 34 lelaki dan 12 wanita berusia 20 hingga 57 tahun.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran – Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, rumah teres itu dipercayai digunakan sebagai transit sebelum diseludup keluar sindiket penyeludupan manusia dikenali sebagai, Geng Herman.

Menurutnya, fokus operasi adalah berkaitan elemen kesalahan SOM (penyeludupan migran) iaitu yang ingin keluar dari Malaysia untuk pulang ke Indonesia melalui jalan air yang tidak diwartakan iaitu jalan laut di perairan persisiran pantai barat Malaysia.

“Modus operandi sindiket ialah menggunakan rumah penampungan di pinggiran bandar sebagai transit kepada migran yang ingin keluar melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soffian berkata, sindiket terbabit akan mengumpul dan menempatkan warga asing di premis berkenaan sebelum dihantar ke pantai untuk menaiki bot utama yang akan membawa keluar migran berkenaan.

Katanya, soal siasat mendapati, migran terbabit dikenakan bayaran sekitar RM1,400 hingga RM1,800 oleh tekong darat sebagai tambang keluar atau masuk ke Malaysia.

“Tangkapan di bawah Seksyen 26A Akta Atipsom 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(4) akta sama.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1956/63 serta Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1956/63,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini