Tumpuan :
Nasional

Hasil revolusi Harimau Malaya boleh dilihat pada 31 Mac 2026

KUALA LUMPUR: Hasil awal revolusi Harimau Malaya dianggap akan dapat disaksikan pada tanggal 31 Mac 2026 iaitu selepas aksi menentang jaguh Asia Tenggara, Vietnam di gelanggang lawan.

Pertembungan Malaysia dan Vietnam itu adalah aksi terakhir dalam Kumpulan F bagi kelayakan Piala Asia 2027 yang mana ia dijangka menjadi penentu perjalanan pasukan untuk ke pusingan akhir kejohanan di Arab Saudi.

Harimau Malaya dan Naga Emas yang masing-masing berada di ranking 132 dan 114 dunia diundi dalam kumpulan sama dengan dua pasukan ranking lebih rendah, Nepal (175) dan Laos (186).

Berdasarkan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia dan Vietnam dianggap sebagai dua pasukan pilihan utama dengan hanya juara kumpulan yang akan meraih tiket ke Arab Saudi.

Harimau Malaya sedang melalui proses revolusi dengan ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski dan pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Nafuzi Zain sudah memulakan tugasnya secara rasmi, semalam.

Malah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut mengumumkan tugas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Robert Douglas Friend juga akan bermula bulan ini.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menyifatkan semua individu terbabit harus berkolaborasi dengan baik dalam usaha memastikan skuad Harimau Malaya yang lebih mantap dapat dibentuk terutama bagi kempen kelayakan Piala Asia 2027.

“Siapa pun yang dipilih dan siapa pun yang memimpin atau apa saja yang berlaku dengan pasukan kebangsaan ketika ini, kita semua kena tunggu 31 Mac 2026 kerana pada hari itu Malaysia akan bertemu dengan Vietnam bagi aksi terakhir kelayakan ke Piala Asia 2027.

“Ia penentuan sama ada kita berjaya membawa satu perubahan besar dalam bola sepak negara atau tidak. Sekarang ini kita bawa Cklamovski dan sudah tentu dia dilantik selepas melalui proses penilaian dan bukan dipilih sebarangan.

“Hanya satu pasukan akan layak ke Piala Asia, jadi perlawanan terakhir menentang Vietnam nanti akan menunjukkan sama ada kita sudah melakukan satu langkah yang tepat atau tidak.

“Peluang Malaysia (layak ke Piala Asia) nampak cerah, tapi Vietnam bukan calang-calang pasukan. Mereka semakin hari semakin meningkat, manakala kita pula tutup kalendar 2024 dengan tidak layak ke separuh akhir Piala ASEAN.

“Sekarang ini Cklamovski perlu kenal pasti pemain untuk membentuk pasukan mengikut perancangannya. Ia mungkin tidak akan ambil masa yang singkat dan pemain juga harus memahami apa jurulatih mahukan,” katanya kepada BH Sukan.

FAM sebelum ini menjelaskan misi awal buat Cklamovski adalah untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi selain membawa skuad negara berada dalam kelompok 100 terbaik dunia.

Semalam, BH Sukan melaporkan pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa menganggap Friend perlu diberikan masa lima tahun untuk membawa perubahan besar terhadap Harimau Malaya terutama bagi meletakkan pasukan negara dalam kelompok 100 terbaik dunia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini