Oleh: Vinsla Santiran
KUALA LUMPUR: Hashtag OIAM terus melonjak ke trending nombor 1 di platform X dengan lebih 700 juta capaian di media sosial menjadikan Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) bukan sekadar rancangan realiti tersohor, tetapi satu fenomena yang menyatukan peminat muzik tanah air.
Kemunculan bekas juara-juara One In A Million dari musim-musim terdahulu, ikon legenda KRU, serta 20 peserta luar menjadikan malam pembukaan malam tadi sebuah peristiwa epik yang melangkaui jangkaan.
CSOIAM terus membuktikan kemampuan menarik perhatian penonton yang lebih luas di pelbagai platform dengan anggaran tontonan yang lebih tinggi.
Pada malam episod pertama, Zazleen mencuri perhatian dengan persembahan bertenaga lagu I’m Outta Love, manakala gelaran Peserta Paling ‘FIZZ’ menjadi milik Kai Deva yang bakal berduet bersama Datuk Nash pada minggu hadapan.
Minggu pertama program yang disiarkan secara langsung TV3 dari Studio TV3, Glenmarie, malam tadi menyaksikan enam peserta berdepan penyingkiran.
Ini sekali gus menyaksikan hanya 14 peserta akan meneruskan perjuangan daripada 20 peserta selepas melalui proses penilaian daripada tiga juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan.
Enam peserta yang tidak berjaya mara adalah Esther, Boisover, Iqmal Romi, Yusriansyah, Bfore3 dan Jill Gaisah.
Sementara itu, 14 peserta yang bakal menggalas cabaran untuk tujuh minggu berikutnya terdiri daripada Jimi, Rezza Shah, Dayangku Iffah, Dhania, Zazzleen, Eylia Guntabid, Hafiz Zainal, Aniq Iffat, Mariam, Kai Deva, Alya Mardien, Erfarina, Trio XL dan Marygrace.
Penilaian markah kepada peserta ditentukan secara 60 peratus oleh juri tetap, manakala 40 peratus lagi berdasarkan undian penonton.
Undian akan mula dibuka dari episod kedua hingga episod kelapan dan penonton boleh mengundi melalui kod khas yang diumumkan semasa siaran.
View this post on Instagram
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.