KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Hasnal Rezua Merican Habib Merican digesa supaya segera meletakkan jawatan.
Ia susulan langkah UMNO mencalonkannya bagi kerusi DUN Kuang, Selangor dalam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.
“Kami meminta Hasnal untuk meletakkan jawatannya sebagai Pesuruhjaya SUHAKAM dengan segera. Pelantikan seorang pemimpin politik ke jawatan penting dalam SUHAKAM menimbulkan persoalan serius mengenai kebebasan suruhanjaya itu dan keupayaannya berfungsi tanpa sebarang pengaruh luar,” kata CSO Platform dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu turut menyebut, kemasukan seorang pemimpin politik dalam SUHAKAM menimbulkan kebimbangan bahawa fungsi suruhanjaya itu mungkin terjejas.
“SUHAKAM mestilah bebas daripada sebarang pengaruh politik dan eksekutif. Keberadaan Hasnal yang juga seorang pemimpin politik di SUHAKAM adalah perkara yang membimbangkan apatah lagi partinya juga sebahagian daripada kerajaan Malaysia hari ini,” katanya.
Pada masa sama, CSO Platform juga mahu supaya pelantikan Hasnal sebagai Pesuruhjaya SUHAKAM diteliti kerana perkembangan terbaharu itu telah menjejaskan integriti badan itu.
“Potensi untuk percanggahan kepentingan atau ‘conflict of interest’ menimbulkan kebimbangan yang lebih mendalam. Justeru, kami juga ingin menekankan keperluan untuk penelitian terhadap pelantikan pesuruhjaya baharu yang dibuat tahun lalu, kata CSO Platform.