![](https://media.buletintv3.my/2025/02/3AEew1WF-BTV3-NEW-2.jpg)
SUNGAI SIPUT: Harimau belang yang sebelum ini dilaporkan menyerang ternakan penduduk di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan pada 17 Januari lalu dipercayai telah kembali semula ke habitatnya di hutan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Yusoff Shariff, memaklumkan bahawa tinjauan Unit Harimau di lokasi kejadian tidak menemui sebarang tanda kehadiran haiwan berkenaan.
Menurutnya, pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan baharu mengenai serangan harimau, dan rakaman dari kamera perangkap yang dipasang turut tidak mengesan kelibatnya.
“Kita percaya harimau ini sudah bergerak ke dalam Hutan Simpan Kinta yang berhampiran. Bagaimanapun tidak mustahil ia akan datang semula untuk mencari ternakan penduduk yang dibiarkan bebas” katanya ketika ditemui pada operasi pemindahan gajah liar di Kampung Orang Asli Talang, Pos Perwor di sini, semalam.
Yusoff berkata, penduduk kampung sekitar kawasan itu diminta supaya sentiasa berwaspada dan tidak membiarkan haiwan ternakan berkeliaran terutama di lokasi kejadian.
PERHILITAN Perak sebelum ini dilapor menerima aduan berhubung serangan harimau belang terhadap lembu ternakan penduduk.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.