Tumpuan :
Nasional

Harimau Malaya mesti rantai Kouame

KUALA LUMPUR: Ange Samuel Kouame, pasti nama yang terlalu asing buat peminat bola sepak tanahair, tetapi sosok tubuh itulah dijangka bakal menjadi duri dalam daging skuad Harimau Malaya jika ditidak dikekang pergerakannya.

Bertindak selaku penyerang bersama Tainan City dalam Liga Perdana Taiwan,  Kouame yang berasal dari Ivory Coast, menjadi pemain naturalisasi kedua skuad Blue Wings selepas baru sahaja mendapat status kerakyatan Taiwan pada Ogos lalu.

Kouame membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan Taiwan pada 8 September lalu dalam aksi persahabatan menentang Filipina dengan perlawanan itu berkesudahan seri 1-1.

Pada perlawanan persahabatan menentang Singapura di Stadium Bishan empat hari kemudian , Kouame menjaringkan gol tunggal pada aksi yang berkesudahan Taiwan tewas 1-3.

Pemain berusia 27 tahun itu kemudian menjadi watak penting dalam dua aksi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Timor Leste bulan lalu.

Dia menyumbang satu gol dan membantu tiga jaringan lain dalam kedua-dua aksi itu yang menyaksikan Taiwan menang 4-0 dan 3-0 untuk melangkah ke pusingan kedua kelayakan.

Menyarung jersi nombor 10 Taiwan, Kouame turut beraksi ketika pasukan itu tewas 0-3 kepada Oman dalam aksi pertama Kumpulan D, Khamis lalu dengan dia dikeluarkan pada minit ke-73.

Melihat pencapaiannya dalam Liga Perdana Taiwan, dia memang dikagumi apabila memenangi anugerah penjaring terbanyak pada 2020 selain dipilih  sebagai pemain terbaik tahun lalu

Dia juga memenangi kejuaraan Liga Perdana Taiwan bersama Tatung FC pada 2018 dan 2019 sebelum meraih pencapaian sama pada 2021 dan 2022 bersama Tainan City.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, seharusnya benteng Harimau Malaya berwaspada dengan setiap gerak  Kouame, pada perlawanan malam esok.

Loading...
Terkini