TAMPIN: Seekor harimau kumbang jantan seberat antara 40 hingga 50 kilogram (kg) mati selepas dipercayai dilanggar kenderaan di Jalan Tampin-Kuala Pilah, di sini, malam tadi.
Pengarah PERHILITAN Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, bagaimanapun tiada kenderaan yang terbabit dikesan di lokasi kejadian.
Beliau berkata, anggotanya ke lokasi sejurus menerima laporan jam 11 malam dan mendapati haiwan itu berada di tepi jalan.
“Pejabat PERHILITAN Daerah Gemas menerima aduan seekor harimau kumbang jantan dewasa, dipercayai dilanggar sebuah kenderaan.
“Namun, maklumat kenderaan dan pemandu tidak dapat dikenal pasti kerana ketika hadir di tempat kejadian, tiada kenderaan yang dikesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi turut mendapati terdapat kesan perlanggaran di besi penghadang jalan.
Katanya, orang ramai dan pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa berhati-hati semasa memandu di kawasan yang gelap serta berdekatan dengan kawasan hutan atau disyaki laluan hidupan liar,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.