KEMAMAN: Penduduk di sekitar Felda Cherul di sini kembali lega apabila seekor harimau kumbang jantan yang sebelum ini membaham ternakan mereka berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, di kawasan ladang sawit, semalam.
Penduduk mendakwa, harimau kumbang itu dikesan berkeliaran di ladang sawit dan menyerang ternakan mereka sejak Mac lalu, namun mereka baharu melaporkan insiden tersebut kepada Perhilitan pada Rabu.
Harimau itu berjaya ditangkap tidak sampai 14 jam kemudian selepas satu perangkap dipasang di kawasan harimau itu dilihat berulang–alik untuk memakan bangkai lembu yang ada di situ.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata perangkap dengan umpan bangkai anak lembu itu dipasang kira-kira jam 6 petang pada Rabu dan haiwan liar itu dikesan masuk perangkap kira-kira jam 8 pagi semalam.
Menurutnya, perangkap tersebut dipasang selepas menerima aduan daripada penternak yang mendakwa ternakan lembu mereka diserang harimau kumbang kira-kira jam 9.00 pagi pada Rabu.
“Harimau kumbang dewasa yang dianggarkan seberat 70 kilogram itu berada dalam keadaan sihat dan kita telah memberikan rawatan yang sesuai.”
“Proses membawa keluar haiwan liar ini mengambil masa kira-kira empat jam dengan kekuatan enam orang anggota Perhilitan daerah,” katanya.
Salah seorang penternak, Mohd Safwan Che Mad, 34, berkata, dia kerugian lebih RM10,000 selepas sembilan ekor lembu yang diternaknya mati dipercayai dibaham haiwan liar itu sejak lima bulan lalu.
“Pada awalnya, saya tidak sangka lembu mati angkara dibaham harimau kumbang. Namun, sejak akhir-akhir ini serangan semakin menjadi-jadi dan saya jumpa banyak tapak kaki harimau di sekitar ladang sawit saya, membuatkan saya mula bimbang keselamatan diri.”
“Dalam serangan terbaharu, pada awal pagi Rabu, seekor lagi anak lembu saya ditemui mati dengan kesan gigitan pada beberapa anggota badan. Saya terus buat laporan kepada Perhilitan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Mohd Safwan berkata, tindakan pantas pihak Perhilitan yang memasang segera perangkap dengan umpan bangkai anak lembunya selepas beberapa jam dia membuat laporan membuahkan hasil apabila harimau kumbang itu berjaya masuk perangkap pada awal pagi semalam.
Kean Seong berkata harimau kumbang tersebut kemudiannya telah dilepaskan ke hutan simpan di negeri ini, bersesuaian dengan habitat asalnya.