GUA MUSANG: Pengguna jalan raya di laluan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Kem Semur, dikejutkan dengan kehadiran seekor harimau kumbang yang dipercayai cedera akibat kemalangan, semalam.
Terdahulu, tular gambar haiwan liar itu berada di tengah jalan sebelum ia bergerak masuk ke dalam hutan berhampiran.
Seorang pengguna jalan raya, Nor Fadzilah Abu Naim, 42, berkata dia sempat melihat harimau kumbang itu dalam keadaan cedera di tengah jalan.
Pengguna jalan raya di laluan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Kem Semur, dikejutkan dengan kehadiran seekor harimau kumbang yang dipercayai cedera akibat kemalangan, semalam.
Sumber: Orang awam pic.twitter.com/t9s1XyYx5q
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) February 4, 2025
“Pada mulanya, saya sangkakan ia seekor anjing yang dilanggar kerana warnanya hitam. Namun, saya tidak menyangka ia sebenarnya harimau kumbang.
“Kira-kira jam 4.30 petang semalam, saya dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kampung Renok. Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan bergerak perlahan dan saya melihat seekor haiwan di tengah jalan yang saya anggap anjing liar.
“Saya terkejut apabila tiba lebih dekat dan melihat dengan jelas bahawa ia adalah harimau kumbang yang masih hidup tetapi mengalami kecederaan di bahagian punggung,” katanya lapor BH Online.
Nor Fadzilah menambah, kira-kira 15 minit kemudian, selepas mengambil anaknya di Kampung Renok, dia berpatah balik untuk pulang ke rumah dan mendapati haiwan itu sudah tiada di lokasi kejadian.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Mohamad Hafid Rohani, memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang aduan berkaitan kejadian terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.