TAMPIN: Misteri serangan haiwan pemangsa yang membaham binatang ternakan penduduk di Kampong Repah Tampin sejak seminggu lalu, akhirnya terungkai.
Ancaman yang mulanya disangkakan harimau belang, rupa-rupanya seekor harimau kumbang setelah haiwan itu masuk perangkap awal pagi tadi.
Sejak seminggu lalu penduduk kampong Repah dilanda kebimbangan selepas kejadian kambing dibaham binatang buas dipercayai harimau belang.
Namun jerat yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, PERHILITAN, Negeri Sembilan semalam akhirnya dapat memerangkap harimau kumbang.
Penternak kambing, Idris Isa, berkata, dia kini dapat menarik nafas lega apabila harimau kumbang yang membaham dua ekor kambing biri-biri miliknya kelmarin sudah pun ditangkap.
”Jadi semalam dia pasang perangkap jadi bila ia pasang perangkap saya gunakanlah anak kambing saya jadi dia punya umpan kan jadi dia punya anak kambing dia bising kan cari induk dia kan mungkin jadi penarik harimau tu untuk datang kan jadi tak sangka lak kan pagi tadi saya tengok anak kambing tu mungkin nak netek kan nak menyusu kat induk dia saya cadang nak lepaskan tapi bila saya dekat ada bunyi mengaum dalam tu jadi tak berani saya nak dekat jadi saya talipon perhilitan” katanya.
Idris yang mengakui trauma dengan kejadian itu berkata, dia terus berpatah balik ke rumahnya sebaik mendengar bunyi ngauman harimau itu yang terperangkap di dalam jerat terbabit.