BERUAS: Seekor harimau dahan ditemui mati dipercayai dilanggar kenderaan di Lebuh raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah Trong menghala ke Beruas, di sini, semalam.
Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff, mengesahkan penemuan bangkai harimau berkenaan selepas pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu pada jam 3 petang.
“Untuk makluman, PERHILITAN sudah bertindak mengambil dan melupuskan bangkai terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, satu video berdurasi 22 saat tular di media sosial memaparkan bangkai seekor harimau dahan ditemui di besi penghadang jalan dan dikerumuni lalat.
Untuk rekod, ini adalah kejadian kemalangan pertama membabitkan hidupan liar di Seksyen 11 WCE menghubungkan Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas yang baru dibuka pada 12 Mac lalu.
Jajaran sepanjang 35.5 kilometer (km) itu dilaporkan memiliki dua terowong laluan haiwan atau animal box culvert dibina merentasi Hutan Simpan Bubu bagi kegunaan hidupan liar melintas dengan selamat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.