PADANG TERAP: Seekor harimau dahan ditemui mati dipercayai dilanggar kenderaan di hadapan Masjid Al Huda Gajah Mati di Jalan Naka, di sini awal pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Roshidi Kassim berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Padang Terap menerima panggilan berhubung penemuan harimau itu jam 3.04 pagi tadi.
“Pemeriksaan menemukan harimau dahan dipercayai jantan dengan anggaran berat 30 kilogram (kg) terbaring di tepi jalan utama Pokok Sena ke Naka.
“Ia kemudian dibawa ke PKOD Padang Terap dan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya.
Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kemunculan harimau dahan itu di kawasan berkenaan.
Harimau terbabit adalah spesis terancam dan pihaknya juga masih menyiasat kemungkinan ia tersesat.