comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Harimau dahan dalam reban ayam

Seekor harimau dahan yang ditemui dalam reban ayam milik penduduk di Kampung Gulau. FOTO: Awam

SIK: Bunyi bising dalam reban ayam berhampiran rumah seorang penduduk di Kampung Gulau, di sini awal pagi tadi membongkar kehadiran seekor harimau dahan yang dipercayai menyerang ayam peliharaan penduduk berkenaan.

Penduduk terbabit, Hafsah Taih, 54, berkata, kejadian itu disedarinya jam 5.50 pagi tadi selepas terdengar seperti bising ayam peliharaannya di reban yang terletak kira-kira 70 meter dari rumah.

Katanya, dia kemudian mengejutkan suaminya, Yahya Omar, 62, kerana mengesyaki sesuatu mencurigakan kerana menyangka ada ular sawa yang cuba menelan ayam peliharaan mereka itu.

“Saya dan suami pergi melihat kawasan reban itu dan mendengar seperti ada benda mencakar dinding reban ayam itu.

“Suami kemudian menggunakan lampu suluh dan ternampak harimau dahan itu dalam reban ayam berkenaan.

“Saya terus menghubungi talian MERS 999 untuk memaklumkan kejadian itu dan saya dapati, sembilan daripada 15 ekor ayam peliharaan saya itu mati dipercayai diserang harimau dahan itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurut Hafsah, kejadian kehadiran harimau dahan itu baru pertama kali berlaku di kampungnya menyebabkan mereka risau dengan keselamatan keluarga.

Dia yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Sik berkata, dalam rondaan bersama rakannya di Kampung Perangkap bersebelahan Kampung Gulau sebelum ini, mereka pernah ternampak kaki seperti harimau di tepi sungai berkenaan.

Katanya, namun selepas itu, banyak kejadian yang berlaku seperti ayam dan itik peliharaan penduduk kampung yang mati dan berkemungkinan diserang haiwan berkenaan.

“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik datang menangkap harimau dahan berkenaan pagi tadi tapi masih bimbang jika ada lagi harimau yang sama berkeliaran di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Daerah Sik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 6.55 pagi.

Difahamkan, harimau dahan itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini