comscore
Tumpuan :
Nasional

Hari wukuf ditetapkan 27 Jun, tahap persediaan 80 peratus

Oleh: Azri Mukhlas

MAKKAH: Malaysia terus mendapat kepercayaan Kerajaan Arab Saudi apabila dibenarkan membuat pilihan waktu melontar di ketiga-tiga Jamrah bagi menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam taklimatnya kepada media tentang persediaan Operasi Masyair berkata, Tabung Haji (TH) telah memilih waktu melontar pada sebelah malam bagi mengelak jemaah haji terdedah pada cuaca yang panas.

Sebelum tiba di Mina untuk melontar, jemaah haji terlebih dahulu akan berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah sebelum bergerak untuk bermabit di Muzdalifah dan seterusnya tiba di Mina.

Kerajaan Arab Saudi telah mengisytiharkan tarikh 1 Zulhijjah pada hari Isnin bersamaan 19 Jun, sementara Hari Wukuf ditetapkan pada 27 Jun iaitu pada hari Selasa.

Menurut Datuk Seri Syed Saleh, persiapan untuk menyantuni semua tetamu Allah itu kini telah 80 peratus selesai dan akan siap sepenuhnya beberapa hari lagi.

Dalam taklimatnya, Datuk Seri Saleh menjelaskan, jemaah haji Malaysia akan bergerak ke bumi Arafah sejauh 21.9 kilometer bermula jam 7.00 pagi pada 8 Zulhijjah dengan menggunakan 21 buah bas yang akan berulang-alik sebanyak tiga kali.

“Sebanyak 278 buah khemah di Arafah dan Mina yang boleh memuatkan antara 180 hingga 300 jemaah setiap satu telah didirikan di dua lokasi tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, ketika menjelaskan mengenai perkembangan operasi haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh memberitahu, seramai 29,212 jemaah telah sampai di Makkah dengan menaiki 95 penerbangan sewa khas.

“Seramai 64 jemaah telah dimasukkan di wad dengan 56 di pusat rawatan Tabung Haji manakala lapan lagi di hospital Arab Saudi. Kesemua pesakit stabil,” katanya.

Kesemua pesakit tambah beliau mengalami jangkitan paru-paru, sakit sendi, sistem pencernaan, jantung dan kulit.

Loading...
Terkini